MELAKA - Kerajaan negeri akan melakukan penstrukturan semula sebahagian daripada kakitangan awam di negeri ini

bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan mereka.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, kini kerajaan negeri sedang menilai tahap kompetensi, kemampuan serta keupayaan penjawat awam negeri ini dan pertukaran juga latihan semula akan dibuat terhadap penjawat awam yang terlibat, namun jumlahnya masih belum dimuktamadkan.

"Persoalan pengurangan penjawat awam itu tidak timbul, ia lebih kepada isu penstrukturan semula (iaitu) isu kompetensi, kemampuan dan keupayaan mereka (penjawat awam negeri) diambil kira dalam penstrukturan semula tersebut.

"Pertukaran ada terlibat tetapi kita nilai secara jujur apa kita lakukan, mana-mana cemerlang akan dapat ganjaran, mana-mana yang lemah kita perbaiki mungkin (diberi) latihan dan sebagainya," katanya yang menyatakan terdapat kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri ini.

Beliau berkata kepada media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini.

Perhimpunan bulanan anjuran Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) itu adalah yang julung kalinya selepas beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 11 Mei lalu.