MELAKA TENGAH -  Kerajaan negeri melihat pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan menjejaskan sektor pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata, malah tiada asas untuk menaikkan sebarang harga tiket masuk ke lokasi pelancongan di bawah kerajaan negeri seperti Menara Taming Sari dan River Cruise selain caj warisan sebanyak RM2 masih dikekalkan.

"Kementerian Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka akan teruskan pemantauan dan penguatkuasaan untuk tangani perbuatan mencatut selepas perubahan kadar SST sejak 1 September lalu. Setakat ini saya belum terima alasan pelaksanaan SST memberi kesan terus kepada pelancongan.

"Kadang-kadang peningkatan itu bukan disebabkan SST tapi disebabkan permintaan dan perkhidmatan. Sepatutnya tak timbul isu harga naik dan sebagainya, perkara-perkara itu tak seharusnya berlaku," katanya.

Adly berkata selepas Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM)dan Syarikat Beaks Development Sdn Bhd di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Melaka, Datuk Roslan Ibrahim; Exco Pelancongan Kebudayaan dan Warisan, Muhammad Jalaini Khamis; Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin dan Pengarah Syarikat Beaks Development Sdn Bhd, Chan Wan Cham.

Dalam pada itu, Adly turut menyaksikan perjanjian bagi projek pembinaan 116 tempat letak kenderaan di bangunan bertingkat dianggarkan menelan kos RM5.5juta dan projek pembinaan Grans Pier Melaka membabitkan kos bernilai RM60 juta yang dijangka siap pertengahan tahun 2020.