SEREMBAN – Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Chong Sin Woon dilantik sebagai Pengerusi MCA Negeri Sembilan bagi menggantikan Datuk Seri Lim Chin Fui yang meletakkan jawatan.

Perkara itu diumumkan Sin Woon dalam sidang media di Pejabat MCA Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan pelantikannya dibuat Presiden parti, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan dipersetujui kepimpinan MCA negeri dalam satu mesyuarat khas Sabtu lalu.

“Pelantikan saya hanya nak pastikan operasi parti di negeri ini berjalan seperti biasa memandangkan Datuk King (Lim Chin Fui) telah pun meletakkan jawatannya baru-baru ini.

“Kita juga nak pastikan pemilihan parti yang akan berlangsung dalam tempoh enam bulan ini dapat berjalan lancar kerana kali ini kita menggunakan sistem baru di mana pemilihan kepimpinan di peringkat pusat akan dibuat oleh perwakilan dari bahagian,”katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Lim Chin Fui meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi MCA dan Ketua Bahagian MCA Teluk Kemang.

Keputusan itu dibuat kerana beliau berasa bertanggungjawab atas kekalahan teruk buat kali kedua dialami oleh parti itu di Negeri Sembilan.

Untuk rekod pada PRU14, MCA yang bertanding didua kerusi Parlimen iaitu Seremban dan Rasah manakala (10 Dun) iaitu Chennah, Bahau, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Senawang, Chuah dan Lukut tewas sekaligus mengulangi kekalahan pada PRU13.