SEREMBAN - Seremban bakal diisytiharkan sebagai bandar raya secara rasmi pada Januari tahun depan, bersempena sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebelum itu akan berlangsung pra pelancaran secara pentadbiran dijadualkan minggu kedua April tahun ini.

“Sepanjang tempoh itu, akan dibuat raptai memandangkan kita tidak macam negeri lain yang ada cuma satu entiti dalam proses berkenaan.

“Macam sekarang, kita ada dua entiti iaitu MPS (Majlis Perbandaran Seremban) dan MPN (Majlis Perbandaran Nilai) yang akan dicantumkan sebagai Majlis Bandaraya Seremban.

“Pada masa itu, kita akan bentangkan enakmen untuk menjadikan Seremban sebagai bandar raya pada Sidang Dun nanti,” katanya pada sidang media, hari ini.

Mohamad juga memberi jaminan tiada kenaikan cukai sepanjang tempoh tersebut.

“Kita tidak akan usik cukai. Sebaliknya kekal macam itu dulu dan tiada semakan apa-apa, termasuk pelesenan.

“Sehingga satu ketika nanti, kita akan cuba selaraskannya sebab sekarang ada perbezaan antara MPS dan MPN,” katanya.