FAKTA

MELAKA - Lembaga Masjid Tengkera, di sini, menafikan viral tersebar di laman sosial Facebook kononnya tanah wakaf milik masjid berkenaan yang terletak di Jonker Walk dijadikan tapak berniaga untuk menjual makanan tidak halal.

Sidang Kampung Tengkera, Harun Ali yang  juga Ahli Jawatankuasa masjid terbabit berkata, perkara berkenaan sebenarnya sudah lama tersebar dan ia dipercayai sengaja dilakukan individu yang berniat jahat untuk tujuan memburuk-burukkan Lembaga Masjid Tengkera.

“Sebenarnya ia adalah fitnah. Premis yang dikaitkan itu bukanlah milik masjid, tanah wakaf sebenar adalah kosong. Premis yang dimaksudkan adalah peniaga nasi itik yang terletak bersebelahan tanah milik masjid.

“Memang mereka ada tumpang meletakkan barangan di tepi jalan tetapi kita sudah beri amaran awal. Malah, pihak lembaga masjid juga ada membuat perjanjian dengan menggunakan khidmat guaman sebelum ini dengan pemilik premis terbabit sekiranya mereka meletakkan sebarang barangan bercanggah di sisi Islam, kita akan mengambil tindakan.

“Malah, perkara ini juga sudah dimaklumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Maim (Majlis Agama Islam Melaka) sendiri dan kita pun telah mengetahui siapa pelaku terbabit” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

AUTA

Sebelum ini tersebar satu viral yang memaparkan gambar keadaan premis berkenaan serta gambar Masjid Tengkera tertulis Tanah Wakaf Masjid Tengkera.

Pemilik akaun mendakwa pengusaha premis terbabit telah bertindak merampas tanah berkenaan, malah telah mengecat papan tanda tanah masjid semata-mata mengaburi mata masyarakat sejak dua tahun lalu.

Viral terbabit juga menyatakan pengusaha terbabit seolah-olah mahu merampas tanah berkenaan apabila mendirikan bangunan di kawasan berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, peniaga juga dituduh menjual makanan halal menyebabkan pemilik akaun meminta pihak berkuasa menyiasat selain berharap orang ramai melindungi tanah wakaf terbabit.