MELAKA TENGAH - Zoo Melaka dan Safari Malam bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menjalankan usaha konservasi menyelamatkan Harimau Malaya yang semakin terancam.

Pengarahnya, Mohd Nawayai Yasak berkata, pihaknya turut mengalu-alukan para penyelidik membuat penyelidikan tentang perlindungan dan pemuliharaan hidupan liar negara terutamanya harimau di zoo terbabit.

“Kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam usaha memelihara spesies Harimau Malaya terutama yang semakin diancam kepupusan dan mengalu-alukan kalangan penyelidik membuat kajian tentang harimau.

“Di pihak zoo sendiri, pelbagai program diatur antaranya kerjasama dari Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan memberi pendedahan kepada pengunjung zoo mengenai fakta yang membimbangkan tentang Harimau Malaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Hari Harimau Sedunia  yang turut dihadiri Pegawai Komuniti Projek MNS, Alaa fah Ilyana Mohd Husni di Zoo Melaka dan Safari Malam di Ayer Keroh di sini, semalam.

Mohd Nawayai berkata, Harimau Malaya adalah salah satu daripada sembilan subspesies harimau di dunia yang menghadapi kepupusan apabila pada tahun 2017 dilaporkan bahawa kurang daripada 250 harimau masih hidup di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Zoo Melaka dan Safari Malam menerima anggota keluarga baharu iaitu seekor ‘Common Waterbuck’ betina yang dilahirkan tujuh hari lalu di zoo tersebut.

Berketurunan daripada Republik Afrika Selatan, bayi yang belum diberi nama itu kini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam Common Waterbuck yang dipamerkan selain kira-kira 600 haiwan daripada 150 spesies berbeza dari seluruh dunia yang terdapat di zoo berkenaan.

Zoo yang ditubuhkan sejak 1963 di bawah penjagaan kerajaan negeri Melaka itu diswastakan pada November 2013 di bawah nama baharu, Zoo Melaka dan Night Safari.