SEREMBAN - Bekas Ketua Sukarelawan Bersatu Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin memberi tempoh tujuh hari kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menarik balik kenyataan yang menuduhnya sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jika Presiden Bersatu itu gagal berbuat demikian pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan saman fitnah.

Menurutnya, kenyataan Muhyiddin pada 6 April lalu adalah fitnah, mengaibkan dan berniat jahat sehingga menyebabkan dirinya mengalami trauma dan kemurungan.

"Saya ingin jelaskan yang saya tidak pernah menjadi ahli PKR dan tidak pernah menjejakkan kaki menghadiri mana-mana program dianjurkan oleh parti itu.

"Kenyataan beliau (Muhyiddin) adalah fitnah dan mengaibkan nama saya secara peribadi sehingga ada yang panggil saya dengan gelaran lalang dan tupai,"katanya pada sidang media diadakan di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, Presiden Bersatu itu turut diminta membuat permohonan maaf secara bertulis sama ada secara siaran media cetak atau elektronik termasuk mengemukakan bukti daripada tarikh sidang media ini diadakan.

Sementara itu Mohd Anas berkata, sehingga kini dia masih belum membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti dan ingin memberi fokus kepada keluarga.

"Bila saya keluar Bersatu, jiwa saya tenang saya tak fikir lagi bebanan yang terpaksa ditanggung.

"Saya percaya Bersatu akan kalah sebelum pilihan raya, parti ini alami kejatuhan ibarat bila 'tokey lari, customer pun lari dan akhirnya kedai akan tutup,"katanya.

Sinar Harian 5 April lalu melaporkan seramai 500 ahli Bersatu kawasan Rembau yang diketuai Mohd Anas keluar parti selepas kecewa dengan kepimpinan parti yang mengamalkan amalan kroni.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :