MELAKA TENGAH - Tindakan mahkamah akan diambil terhadap dua blogger yang menularkan video Exco Kerajaan Melaka ketika membuat serbuan di sebuah stor baja di sini, baru-baru ini.

Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan industri Asas Tani Melaka, Norhizam Hassan Baktee Norhizam berkata, tindakan tersebut dibuat selepas mendapati individu yang merupakan blogger dari negeri ini telah memfitnah dan menyebarkan video mendakwa beliau berkelakuan biadab dalam insiden kes baja subsidi di Kampung Parit Penghulu Banteng sejak 30 Ogos lalu.

“Saya telah failkan saman ke atas dua individu itu, seorang lelaki dan wanita kerana menyebarkan video fitnah hinggakan ia memberi persepsi negatif ke atas diri saya.

“Saya harap tindakan memfailkan kes ini juga dapat menjadi pengajaran kepada orang lain agar tidak mudah menyebarkan fitnah dengan menularkan sebahagian video tertentu tanpa memuat naik video yang penuh,” katanya.

Norhizam berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan bersama Penduduk Kampung Anak Air Pengkalan Batu berkenaan isu tanah di Kompleks JAPERUN Pengkalan Batu, Bachang di sini, semalam.

Norhizam berkata, beliau juga akan meminta jabatan yang terlibat berkaitan projek padi wangi termasuk Pertubuhan Peladang, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Jabatan Pertanian supaya memperjelaskan mengenai projek itu yang didakwa gagal mencapai matlamat.

Menurutnya, ia penting supaya tanah berstatus (TOL) tidak sewenangnya dicerobohi dan didirikan pertanian lain mahupun projek lain tanpa kelulusan pihak berkaitan.

“Apa yang saya faham kemungkinan ia gagal disebabkan ketidaksesuaian tanah, namun saya mahu dapatkan penjelasan sewajarnya.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Sungai Rambai terjadi lagi, sehinggakan ada individu yang berani menceroboh tanah dan menjalankan kerja-kerja mengorek tanah bagi projek kolam ikan sedangkan ini tanah kerajaan,” katanya.