BATU LIMA - Seorang pendawai elektrik terpaksa bertarung nyawa ketika kereta dipandunya berpusing beberapa kali selepas hilang kawalan lalu merempuh tiang di pembahagi jalan.

Bagaimanapun, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Faizal, 28, hanya cedera ringan terkena serpihan kaca cermin sisi yang pecah akibat rempuhan kuat Proton Waja dipandunya pada tiang elektrik di pembahagi jalan terbabit.

Menceritakan pengalaman cemas itu, Mohd Faizal berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Felda Kerteh 4 ke tempat kerjanya di sebuah bengkel dekat Batu Lima.

Sebaik sampai di lokasi kejadian, kereta dipandunya tiba-tiba hilang kawalan selepas dipercayai melalui permukaan jalan tidak rata sehingga berpusing empat kali sebelum merempuh tiang elektrik di pembahagi tengah jalan.

Menurut Faizal, dia tidak dapat berbuat apa-apa ketika keretanya berpusing dan hanya mampu  berdoa pada Tuhan agar terselamat.

Katanya, dalam keadaan separuh sedar, dia dibantu orang awam keluar melalui cermin pintu sebelah tepi untuk menyelamatkan diri dan sebaik berjaya dikeluarkan, dia mengalami muntah-muntah, selain kepalanya pening.

“Semasa kereta tengah berpusing, saya cuma ingat mati.

"Nasib baik tiang elektrik jadi penghalang, jika tidak, kenderaan saya melambung di laluan bertentangan dan mungkin dirempuh kenderaan lain," katanya yang bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan kira-kira jam 9.15 pagi kelmarin itu.

Mangsa yang juga anak peneroka Felda itu hanya cedera ringan di bahagian muka dan dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Berikutan kejadian itu, Faizal membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Dungun.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENDANG - Seorang lelaki berusia 40 tahun yang memandu kereta jenis Toyota Vellfire maut apabila kereta yang dipandunya itu terbabas di dalam satu kemalangan jalan raya di kilometer 56.5 Lebuhraya Utara Selatan, hari ini.
  • KOTA BHARU - Seorang wanita maut manakala empat cedera dalam kemalangan yang melibatkan empat kenderaan di jalan Kadok di sini pagi tadi.
  • GEMAS - Seorang graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) tidak sempat memasukkan duit ke dalam akaun abangnya apabila dia maut dalam kemalangan ketika ke pekan Gemas.
  • SEBERANG JAYA - Seorang pengawal keselamatan hilang mata pencarian apabila terlantar di hospital selepas terlibat dalam kejadian langgar lari di Seberang Jaya pada 8 Ogos lalu.
  • KOTA TINGGI - Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang tidak sempat mengelak haiwan dipercayai babi hutan di KM62.0 Jalan Johor Bahru-Mersing pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.