KUALA PILAH -  "Walaupun saya bukanlah anggota tentera berpencen, tapi saya tetap terhutang budi kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) cawangan Juasseh kerana ambil berat tentang saya," kata Md Diah Yusof, 58.

Menurut Md Diah, dia kini sudah terlantar selama 18 tahun setelah terlibat kemalangan pada 1999.

Ujarnya, boleh dikatakan setiap dua minggu sekali pasti ada wakil daripada PVATM Cawangan Juasseh datang melawatnya, meskipun hanya sekadar bertanya khabar.

"Sejak jadi ahli PVATM cawangan Juasseh empat tahun lalu, banyak manfaat saya dapat terutama dari aspek kebajikan diri dan keluarga yang sentiasa terbela.

"Saya berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanyalah selama 13 tahun saja mulai 1981 hingga 1993, dalam pasukan Kor Perkhidmatan (Pemandu).

"Selepas tamat perkhidmatan dari ATM, saya bekerja di sebuah syarikat membuat cermin di Batu 5, Jalan Ipoh," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jerejak Seberang.

Tambah Md Diah, kira-kira 18 tahun lalu dia terlibat kemalangan apabila motosikal ditungganginya bertembung sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Akibatnya, kedua-dua kaki saya patah. Pakar perubatan maklumkan saraf di kedua belah kaki tidak berfungsi lagi, menyebabkan saya terlantar sehingga sekarang,” katanya.

Dia yang dikurniakan dua anak berusia 19 dan 21 tahun, kini tinggal bersama ibunya, Sapiah Ali, 85.

“Saya hanya terlantar dan segala keperluan seperti mandi dibantu ibu dan anak. Saya juga terpaksa pakai lampin pakai buang. Syukur kerana ibu berjiwa kental dan memahami masalah saya walaupun dia telah uzur,” katanya.

Tambah Md Diah lagi, untuk meneruskan kelangsungan hidupnya, kini dia menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, Baitulmal RM200 serta Bantuan Sara Hidup daripada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sebanyak RM300 sebulan.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Adnan Ahmad berkata, ziarah itu dilaksanakan bagi mendekati ahli PVATM yang terlantar dan memerlukan sumbangan terutama di bulan Ramadan.

“Kita akan jejaki semua ahli PVATM yang terlantar. Dengan cara ini kita dapat lihat sendiri masalah dihadapi selain bantu mereka mengikut keperluan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BATU PAHAT - “Saya tak ada modal nak siapkan rumah ini, duit yang ada hanya cukup untuk makan pakai anak-anak,” kata ibu tunggal, Marlina Hamim, 43, yang memohon mana-mana pihak membantunya menyiapkan rumahnya.
  • SEKINCHAN - Sekali pandang, Fatimah Nur Amna Musliadi, 6, sama seperti rakan seusianya yang sihat dan aktif, namun siapa sangka kanak-kanak itu sebenarnya menghidap leukemia.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.