BANDARAYA MELAKA - Seorang wanita sanggup menghabiskan ribuan ringgit semata-mata kerana minatnya yang mendalam mengumpul barangan kecil atau ‘miniature’.

Mazlina Mokhtar, 52, berkata, ‘kegilaannya’ terhadap aktiviti tersebut bermula sejak berusia 12 tahun lagi.

Baginya semua barangan kecil terbabit adalah satu keunikan dan menganggap sebahagian daripada terapi minda.

“Biar terpaksa berhabis ribuan ringgit, namun itu bukan penghalang buat saya apabila minat dan keinginan mengatasi segalanya.

“Citarasa dan minat itu membuatkan saya sanggup lakukan apa sahaja untuk memiliki koleksi yang diminati. Boleh saya katakan, kalau ke mana-mana, kedai miniature yang saya akan serbu dahulu.

“Bagi saya, bukan senang nak buat benda yang kecil, sebab itu lagi kecil lagi mahal sesuatu barang itu. Itu membuatkan saya respect dan kagum kepada si pembuat miniature ni.

“Seingat saya pada usia 12 tahun barang pertama yang saya kumpul adalah patung mini Garfield dan juga magnet-magnet yang dibeli sendiri dan juga ada dari pemberian saudara mara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ayer Keroh, di sini.

Menurut Mazlina, hasil koleksinya kini sudah menjangkau 10,000 jenis barangan dan menariknya kesemua itu masih lagi elok biarpun sudah menjangkau 40 tahun.

“Antara yang saya ingat lagi adalah mini heart pemberian suami ketika bertunang dulu masih tersimpan rapi. Keluarga dan rakan-rakan tahu minat saya dan sering memberi sebagai hadiah juga.

“Lepas kahwin pula, saya kerap berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain kerana mengikut suami yang bekerja sebagai pegawai polis, jadi dari situ saya beli sikit-sikit dan sering ke luar negara untuk melancong,” katanya.

Mazlina berkata, dia sanggup menempah dalam talian set miniature yang kebanyakannya dari luar negara kerana sukar diperolehi di negara ini kerana kurangnya sambutan terhadap barangan tersebut.

“Apabila terkenang sesuatu benda saya berusaha untuk mendapatkannya, memang selalunya saya beli di luar negara sebagai contoh set warung bakso dan yang terbaharu saya ada menempah set kuih-muih hari raya bersama-sama almarinya sekali dari Indonesia bernilai kira-kira RM800.

“Namun, baru-baru ini ada juga seorang rakan di sini baru berjinak-jinak membuat bisnes miniature, jadi saya sudah mendapatkan set almari lauk dan nasi lemak bernilai RM390 yang ditempah di Ayer Keroh,” katanya.

Mazlina yang mempunyai tiga anak perempuan itu berkata, koleksinya kebanyakannya adalah berkonsepkan kehidupan seharian yang mana, barangan kegunaan manusia setiap hari.

“Bila dah kumpul dan hias di segenap ruang di dalam rumah ini, saya perhati memang kebanyakannya berkonsep kehidupan seharian seperti lesung batu, makanan, minuman, peralatan memasak dan juga gerai-gerai jualan.

“Set Tupperware ada juga, ini kalau dah terlepas edisi yang terdahulu memang susah nak dapat. Tapi kalau dah mulakan koleksi dari sekarang ia akan jadi ‘rare’ satu hari nanti, tapi tak boleh lawan dengan ‘otai’ Tupperware lah,” katanya.

Terbaharu, menurutnya dia sanggup membeli set roti canai yang berharga RM120 kerana menganggap ia sesuatu yang sukar diperolehi.

“Lucu pun ada tengok ada orang jual set roti canai berserta kuah bahkan ada sudu dan garfu sekali di laman Instagram, jadi saya terus dapatkannya dengan harga RM120, biarpun agak mahal untuk ‘mainan’ kecil seperti itu tapi saya puas.

“Itu saya kata, bila stress dan tengok koleksi sebegini hati terhibur. Rasa macam main pondok-pondok di waktu kecil pula,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Kerana hobi dan minat yang mendalam, seorang pegawai sistem maklumat sanggup berbelanja demi mendapatkan koleksi sampul duit raya yang jarang ditemui dan mempunyai nilai tersendiri.
  • BATU PAHAT - Gara-gara permainan gusti pemadam, Farhan Nur Aeman Md Faris, 8, kini mengumpul hampir 2,000 getah pemadam.
  • SABAK BERNAM - Seorang guru memanfaatkan masa terluangnya pada cuti hujung minggu bersama keluarga dengan mencari hidupan laut bercangkerang seperti remis dan kijing.
  • KUANTAN - Mungkin bagi sesetengah orang, hobi mengumpul duit lama dan unik itu perkara yang tidak masuk akal, namun bagi mereka yang memahami nilai setiap duit yang dikumpul, pandangan orang lain tidak lagi penting.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.