MELAKA TENGAH – Masalah pembuangan sampah merata-rata tempat bukan sahaja menyebabkan kecacatan kepada keindahan persekitaran, tetapi menjadi musuh utama kepada sistem saliran air di negeri ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, sampah dibuang secara tidak bertanggungjawab itu tentunya akan menyebabkan pelbagai masalah lain seperti penyakit, sistem saliran tersumbat yang akhirnya mengakibatkan banjir dan juga gangguan bekalan air.

“Minggu lepas berlaku gangguan bekalan air di Melaka disebabkan kerosakan pam air Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang tersumbat akibat sampah masuk ke kawasan empangan air apabila berlaku hujan lebat.

“Oleh itu orang ramai dinasihatkan sentiasa berdisiplin dengan membuang sampah ke dalam tong sampah disediakan dan tidak melonggokkan sampah sesuka hati. Sampah yang tidak dibuang dengan sempurna boleh masuk ke sungai apabila hujan dan juga ke dalam empangan,” katanya.

Mohd Sofi juga Adun Durian Tunggal berkata, kesedaran orang ramai penting dan selain menguruskan kerja-kerja pembersihan sampah dengan sempurna, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengadakan kempen kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menguruskan sampah dengan baik.

“Kesedaran ini harus dipunyai semua orang kerana jika segelintir sahaja sedar dan ramai tidak sedar tentang sampah yang menjejaskan saliran air kita, maka sudah tentu isu ini tidak akan selesai sampai bila-bila,”

“PBT juga perlu sediakan tong sampah yang mencukupi dan melakukan pemantauan di kawasan berisiko tinggi selain meningkatkan lagi pengurusan sampah di negeri ini dengan mengambil langkah-langkah jangka pendek dan panjang,” katanya.

Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Kerk Chee Yee pula berkata, longkang dan sistem perparitan tersumbat di Melaka Baru, kawasan Taman Seri Jati dan Kampung Sungai Putat antara penyebab berlakunya banjir kilat di kawasan terbabit.

“Sebagai cara penyelesaian jangka pendek, pembersihan longkang besar itu (di Melaka Baru) dan longkang di dalam taman dilakukan. Langkah tersebut dibuktikan berkesan kerana tidak berlakunya banjir kilat selepas kerja pembersihan walaupun hujan sederhana lebat selama dua jam.

“Pada kebiasaannya 45 minit hujan lebat di kawasan berkenaan akan sebabkan banjir kilat. Tetapi saya kesal apabila hanya selepas tiga atau empat minggu pembersihan dijalankan, sampah akan terkumpul semula dan tersumbat semula,” katanya.

Chee Yee berkata, keadaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa mengunakan peruntukan Adunnya sendiri untuk mengupah kontraktor membersihkan longkang besar di kawasan itu yang kembali tersumbat akibat sampah walaupun baru diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR) beberapa minggu lalu.

“Saya dalam proses perbincangan dengan pihak PBT dan JKR supaya meningkatkan kekerapan pembersihan longkang bagi mengelakkan banjir kilat. Pada masa yang sama, saya menyeru orang ramai tidak membuang sampah merata-rata dan sedar peranan masing-masing,” katanya. - Bernama