SEREMBAN - Polis  meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kes judi membabitkan perlawanan bola sepak Piala Dunia supaya tindakan dapat diambil.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Noor Azam Jamaludin berkata maklumat daripada orang awam amat penting kerana judi bola sepak itu dijalankan secara dalam talian dan sukar bagi pihak polis untuk menghidu kegiatan mereka.

“Pihak kami turut mendapat beberapa maklumat berkenaan judi ini dan beberapa tangkapan sudah dibuat, namun tangkapan tersebut berdasarkan maklumat serta risikan yang dibuat oleh polis.

“Saya menyeru kepada masyarakat Negeri Sembilan agar bersama-sama dengan polis dalam menyalurkan maklumat...jika ada tangkapan kes akan disiasat di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun.

Noor Azam berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan dalang judi bola sepak itu berpangkalan di luar negara kerana semua urusan perjudian hanya melalui dalam talian. - Bernama