MELAKA TENGAH - Polis mengesahkan pasangan warga emas yang menjadi mangsa kejadian samun di Kilometer 12 Kampung Pernu, pada malam Khamis lalu dipaksa menelan sejenis ubat tidur.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mangsa Alias Simin, 67, dibenarkan pulang Sabtu lalu.

“Sementara isterinya Mariam Mahmud, 66, pulang semalam selepas ditahan di zon kuning Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka untuk pemantauan rapi.

“Kita sudah memperoleh hasil ujian air kencing kedua-dua mangsa dan pihak hospital mendapati, mangsa dipaksa menelan pil iaitu sejenis ubat tidur,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, setakat ini masih belum ada sebarang tangkapan dibuat berhubung kes terbabit.

Sinar Harian, Jumaat lalu melaporkan sepasang warga emas dipukul, diikat sebelum disuap pil tidur dalam satu kejadian samun Kampung Pernu di sini.

Pasangan suami isteri terbabit dikejarkan ke Hospital Melaka selepas tidak sedarkan diri selepas kejadian yang berlaku jam 8.10 malam.

Akibat kejadian itu mangsa turut kehilangan wang tunai serta beberapa barangan berharga.

[ARTIKEL BERKAITAN: Penyamun pukul, suap warga emas pil tidur]