REMBAU – Seorang warga emas yang merupakan bekas SC (special constabulary) mungkin boleh diiktiraf sebagai individu tertua di dunia apabila tarikh lahir yang tercatat di kad pengenalannya adalah pada 11 Februari 1889.

Safiah Ujang, 128, ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Kampung Seberang Batu Hampar, di sini, kelihatan uzur namun masih selesa menguruskan dirinya sendiri di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dihuni.

Menurut Safiah, semasa pemerintahan 'orang putih' (penjajahan British) sebelum kedatangan Jepun, dia yang ketika itu anak dara masih mengingati cabaran hidup di zaman berkenaan.

“Api, air tiada. Uwan nak kojo nak masuk SC. Dalam zaman Jepun tu Uwan masuk SC tiga tahun. Datang mereka nak suruh minta polis. Uwan tak nak... takut.

“Konolak dio nak bawak Uwan ke Gomoncheh tu dulu. Tak nak lah Uwan, takut ,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana menguruskan dirinya sendiri dalam keadaan usianya yang sudah lanjut, Safiah berkata, dia melakukan apa sahaja yang diingininya untuk tinggal berhampiran rumah pusakanya yang sudah roboh.

“Rumah kito, tanah kito, sawah kito. Apolak nak duduk tompek lain. Ponah Uwan molalak kek umah cucu nak balik umah Uwan sendiri. Senang duduk umah sendiri. Nak makan... makan. Nak tidur... tidur.

“Uwan boleh masak sendiri. Tapi selalu juga ada orang datang melawat Uwan bagi bantuan beras, tepung, susu.  Bila Uwan nak masak, Uwan masak, kot tak nak Uwan minta tolong orang bolikan,” katanya, semalam.

Safiah berkata, dia lebih selesa menguruskan kehidupannya sendiri termasuk merawat luka perutnya kerana baginya lebih mudah.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah dihantar ke hospital oleh cucunya bagi mendapatkan rawatan lanjut selepas bisul di perutnya pecah.

“Tujuh hari saja. Selepas tu Uwan merayu kek doktor bagilah Uwan balik umah Uwan. Dah lamo boto Uwan tinggalkan umah,” katanya yang tidak mempunyai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung.

“Cuma kaki Uwan ni ado lah masuk bosi sobab jatuh. Jadi nak apo-apo sekarang semua Uwan mengesot saja. Biarlah Uwan tinggal kek sini. Rumah kebajikan pun Uwan tak nak poie,” katanya yang juga penerima bantuan bulanan orang tua sebanyak RM300 sebulan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Untuk rekod, seorang lelaki didakwa sebagai manusia tertua di dunia meninggal dunia awal Mei lalu di sebuah perkampungan di Indonesia pada usia 146 tahun, lapor Huffington Post.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • IPOH - Tindakan pantas anggota penyelamat (lifeguard) berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan daripada lemas ketika bermain di sebuah kolam di taman tema, Bukit Merah Laketown Resort, semalam.
  • TANJONG KARANG - Alasan kepadatan penduduk menjadi punca denggi menular serius di negeri ini cukup tidak munasabah seolah-olah kerajaan negeri mahu melepas tangan terhadap isu kesihatan rakyat Selangor.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur sebuah gudang pasar raya di Jalan Kebun, Klang, Selangor semalam dan menahan 113 orang warga asing yang didapati bekerja tanpa dokumen yang sah.
  • ALOR SETAR - Sebanyak 30 tiket percuma bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia Kedah menentang Felda United menanti penderma darah di perkarangan Stadium Darul Aman bermula jam 9 pagi esok.
  • LABUAN - Hujan lebat berterusan disertai angin kencang terus membadai pulau bebas cukai ini, dengan berpuluh-puluh buah kampung digenangi air dan terputus bekalan elektrik sejak Jumaat lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.