KUALA PILAH – Rang Undang-undang (RUU) Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2017 yang bertujuan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau (Akta 164), merupakan rang undang-undang untuk memberi keadilan kepada semua pihak.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata RUU itu tidak seharusnya dibaca secara luaran sahaja malah perlu melihat semangat disebalik rang undang-undang itu.

“Rang undang-undang ini adalah untuk memberi keadilan kepada semua .Ia dipinda supaya memberikan peluang dan ruang kepada kedua-duanya mereka mendapatkan keadilan yang sempurna,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pentauliahan Pengkat Kehormat Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Perhimpunan KRS Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof.

Mohamad berkata pindaan itu bagaimana pun tidak menafikan hak seseorang itu di Mahkamah Syariah sebaliknya menggalakkan seseorang itu supaya bersikap lebih bertanggungjawab untuk menceraikan pasangannya di Mahkamah Sivil.

"(Dalam masa yang sama) kita nak memperkasakan lagi Mahkamah Syariah ini. RUU164 ini untuk kita memperkasa lagi Mahkamah Syarie supaya badan kehakiman ini tidak lagi dihina, dicaci, dan dipandang orang sebagai mahkamah yang tidak adil,” katanya.

Mohamad berkata dalam konteks Negeri Sembilan, semangat RUU 164 telah pun dilaksanakan selama tiga tahun dan ia dibuat dalam bentuk pentadbiran dan bukannya secara perundangan.

Pada Khamis lepas, Persidangan Dewan Rakyat meluluskan RUU 164 yang antara lain bertujuan untuk memberi ruang kepada pasangan yang berkahwin dan telah memeluk agama Islam atau salah seorang dari pasangan itu yang masih berada dalam agama Islam untuk memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil.

Ia juga bagi mengelak tindakan oleh sama ada suami atau isteri yang tidak mahu menamatkan sesuatu perkahwinan tetapi tidak menjalankan tanggungjawab terhadap pasangannya, anak-anak atau harta mereka.

Pindaan itu juga dibuat bagi memastikan tiada mana-mana pihak mencabar kesahan undang-undang itu di bawah Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JEMPOL - Menteri Besar Negeri Sembilan menasihati para peneroka supaya memelihara pemilikan tanah yang dikurniakan kepada mereka oleh kerajaan.
  • SEREMBAN - Tenaga mahir dan dipercayai perlu dipertingkatkan untuk memastikan negara dapat terus menarik minat pelabur asing dan tempatan untuk melabur di negara ini.
  • SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan telah mengarahkan sebuah jawatankuasa dianggotai tiga agensi kerajaan untuk menyenaraikan sekolah-sekolah tahfiz yang berdaftar dan tidak berdaftar di negeri ini, bagi membolehkan pemeriksaan aspek keselamatan dapat dijalankan secara menyeluruh.
  • PORT DICKSON - Kerajaan negeri terus memperkasa dasar perumahan negeri sekali gus beri peluang kepada lebih ramai masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri.
  • SEREMBAN - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan menegur sesetengah pihak yang ingin menganjurkan ibadah korban, namun memohon sumbangan untuk melaksanakannya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.