TAMPIN – Bekas Adun Gemencheh, Datuk Mohd Kamil Abdul Aziz mengalami kerugian lebih RM30,000 apabila kediamannya di salah sebuah taman perumahan di Gemencheh dipecah masuk.

Dalam kejadian yang hanya disedari kira-kira jam 11.00 pagi tadi, mangsa segera membuat laporan polis di Balai Polis Gemencheh bagi tindakan lanjut.

Menurut Mohd Kamil, kali terakhir dia pulang bagi membersihkan kawasan dalam dan luar rumah adalah pada 5 Mei lalu dan pada masa berkenaan rumahnya masih berada dalam keadaan baik.

“Pagi tadi bila sampai di rumah saya tak rasa curiga kerana pintu hadapan elok bertutup.  Bagaimanapun, sebaik membuka pintu rumah, saya terkejut apabila keadaan rumah saya berselerak.

“Sebaik diperiksa, bahagian tingkap dapur rumah saya telah diumpil dan geriginya ditendang penyamun untuk memasuki rumah saya,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Mohd Kamil berkata, susulan kejadian berkenaan, lapan utas jam tangan yang saya simpan dalam sebuah kotak sebagai koleksi bernilai kira-kira RM10,000 dan dua butir permata dari  Tanzania bernilai RM20,000 telah dilarikan.

Menurutnya, kejadian pecah rumah berkenaan baru pertama kali berlaku sepanjang 14 tahun dia mendiami kediaman berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superitendan Hamazah Ab Razak mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.