REMBAU - Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Negeri Sembilan Daerah Rembau dijadikan platform terbaik kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam mentransformasikan kawasan luar bandar seiring dengan pencapaian masyarakat bandar.

Pengerusi RTC Negeri, Mohd Hizami Mohamad Nor berkata, RTC berkenaan telah beroperasi sejak Oktober tahun lalu dengan menghimpunkan pelbagai agensi sebagai ‘one stop centre’ bagi memudahkan masyarakat setempat.

Menurutnya, sejak beroperasi, lebih 1,500 penduduk menggunakan perkhidmatan di RTC itu dan pada setiap bulan, mereka terutama graduan yang sedang mencari pekerjaan boleh menjalani secara terus temu duga di lokasi berkenaan.

“RTC ini bukan hanya menawarkan perkhidmatan bersepadu daripada agensi seperti Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pusat zakat dan kaunter kecil seperti Majlis Daerah Rembau (MDR), MyEG, bahkan menawarkan program latihan kemahiran kepada masyarakat setempat.

“Tujuan penubuhan RTC bagi mengurangkan kadar penghijrahan masyarakat khususnya belia ke kawasan bandar, dengan memberi peluang mereka menjalani program latihan kemahiran serta keusahawanan,” katanya ditemui Sinar Harian sempena program Moh Ngeteh Merdeka di RTC Negeri Sembilan, Rembau, di sini, kelmarin.

Dalam pada itu, Mohd Hizami berkata, sejak Mac lalu, RTC telah mengadakan pelbagai program berbentuk latihan dan keusahawanan kepada penduduk setempat antaranya Bengkel Gunting Rambut.

Katanya, program itu memberi impak secara terus kepada peserta, di mana mereka boleh menggunakan kemahiran berkenaan untuk membuka perniagaan sendiri di kawasan luar bandar.

“Malah kita kini dalam usaha menganjurkan bengkel pengiklanan media sosial. Berdasarkan tinjauan, kita dapati masyarakat di sini banyak babitkan diri dalam peniagaan dalam talian dan kita akan memantapkan lagi pengetahuan pemasaran produk melalui kaedah itu kepada yang berminat.

“Secara tidak langsung, usaha ini bagi menyahut saranan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar, serta terus memangkin ekonomi luar bandar seiring dengan di kawasan bandar,” katanya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Sambutan menggalakkan daripada rakyat Kelantan menjadikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Tunjong di sini sebagai pilihan tempat beli-belah utama sejak enam tahun lalu, sekali gus menjana pendapatan lumayan kepada lebih 600 peniaga di negeri ini.
  • JASIN - Fasa Kedua Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai bernilai RM3 juta akan dibangunkan di kawasan Hentian Rehat dan Rawat Sungai Rambai, Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) arah selatan.
  • GOPENG - Pemuda BN Parlimen Gopeng akan mengadakan Karnival Kerjaya dan Pendidikan pada Sabtu dan Ahad ini di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini.
  • KOTA BHARU - Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Tunjong di sini, mencatat nilai jualan sebanyak RM265 juta tahun ini sehingga November lepas.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.