PORT DICKSON- Sebanyak 12 buah sekolah di Negeri Sembilan terlibat dalam projek pembinaan semula dan menaik taraf sekolah daif menggunakan teknologi Sistem Bangunan Berindustri (IBS), membabit kos keseluruhan berjumlah lebih RM15 juta.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Sembilan, Datuk Abdul Karim Mohd Tahir berkata daripada jumlah itu, lapan daripadanya telah siap sepenuhnya manakala baki empat lagi akan siap sepenuhnya bulan depan dan dijangka akan dapat beroperasi awal tahun depan.

Beliau berkata projek berkenaan diluluskan pada Belanjawan 2018 kepada JKR untuk dilaksanakan menggunakan reka bentuk yang mesra pembangunan dan alam.

"Projek ini melibatkan tiga pakej iaitu pakej pertama lima buah sekolah di daerah Seremban dan Jelebu, pakej kedua tiga sekolah di daerah Port Dickson dan Rembau manakala pakej ketiga iaitu empat sekolah di daerah Kuala Pilah,"  katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyerahan projek Pembinaan Semula dan Menaik Taraf Sekolah Daif Menggunakan Sistem IBS Di Semenanjung Malaysia (Fasa 1) 2018 bagi Negeri Sembilan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rusa.

Majlis berkenaan dirasmikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir.- Bernama