SEREMBAN - Seorang pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sri Sendayan di sini, secara tiba-tiba rebah di padang, sebelum disahkan meninggal dunia, kelmarin.

Kejadian pada jam 3.38 petang itu, berlaku ketika Mohammad Fais Ali Ahmad, 16, bermain dalam per­lawanan liga bola sepak sekolah­nya yang melibatkan 66 pelajar.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Maznah Abu Bakar berkata, difahamkan kejadian berlaku dalam tempoh hanya beberapa minit selepas pelajar terbabit memulakan perlawanan.

“Tiba-tiba dia rebah dan guru yang ada di padang ambil tindakan mem­beri bantuan pernafasan dan menghubungi ambulans yang tiba jam 3.48 petang.

“Saya difahamkan pada waktu itu mangsa masih ber­nafas, namun disahkan meninggal dunia jam 4.50 pe­tang ketika sedang men­dapatkan rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS)," katanya.

Menurutnya, laporan bedah siasat men­dapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

Selain itu beliau berkata, kejadian itu sesuatu yang mengejutkan kerana pelajar berkenaan aktif dan atlet sekolah dalam sukan bola sepak.

“Bapanya memberitahu, mangsa baru saja membuat pemeriksaan kesihatan dan disahkan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Ketika kejadian cuaca juga dalam keadaan baik, tidak terlalu panas dan saya menafikan jika ada yang mengatakan ia disebabkan strok haba,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Ali Ahmad Mohd Jaled, 60, berkata, Allah­yarham yang juga anak bongsu dari tiga beradik itu tidak me­nunjukkan per­ubahan sebelum ke sekolah.

“Seperti biasa, saya akan cium pipinya dan dia ke­lihatan biasa sehinggalah pihak sekolah telefon be­ritahu arwah pengsan.

“Saya terus ke sekolah dan mendapati dia dah dimasukkan ke dalam ambulans. Sebaik tiba di hospital doktor yang merawatnya beritahu dia dah meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.Rebah ketika perlawanan bola sepak