JASIN - Pusat Pelindungan Remaja Hamil, Sekolah Harapan di sini, akan dibangunkan modul baharu dalam melahirkan penghuninya lebih berkemahiran dan celik al- Quran.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), Md Azhan Samat berkata, modul diwujudkan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu masih dalam proses pembinaan da kajian yang terperinci supaya ia sesuai untuk diguna pakai dalam kalangan penghuni-penghuni sekolah itu yang terdiri daripada pelajar yang mengandung.

Menurutnya, sekolah yang menerima peruntukan Jaim itu akan fokus dua bidang utama iaitu kemahiran dan celik al-Quran bukan sekadar mengenal huruf hijayah, namun dapat membaca dan menghayatinya.

"Menerusi modul yang akan dibangunkan itu, kita mampu lahirkan pelajar yang dari tidak tahu membaca al-Quran, bila mereka keluar mereka sudah tahu membaca dan mengamalkannya. Begitu juga kemahiran menjahit, bukan sekadar jahit sahaja tapi mereka dapat menjahit sepasang baju kurung dan sebagainya.

"ini penting untuk memberi mereka lebih kemahiran dan secara tidak langsung mampu menjana pendapatan sekiranya ada yang tidak mahu menyambung belajar, dalam masa sama kita kuatkan rohani mereka dengan keagamaan seperti dengan al Quran," katanya.

Azhan berkata demikian ketika menerima kehadiran Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Negeri, Ginnie Lim Siew Lin sempena Majlis Aidilfitri di Sekolah Harapan di sini, tadi.

Jelas Afzan, sebelum ini pengisian mereka turut ditekankan dengan ilmu keagamaan namun modul itu lebih bertujuan untuk memperkasakan program dan aktiviti sekolah mampu meminiumkan kes-kes pembuangan bayi.

Hadir sama, Pegawai Tadbir Agama Daerah Jasin, Huzailan Hamzah.

Semenjak penubuhan sekolah itu juga sebanyak 331 bayi yang telah dilahirkan oleh pelajar sekolah itu dan daripada jumlah itu, 186 merupakan bayi lelaki.