MELAKA TENGAH - Jeti Anjung Batu menghubungkan Pulau Besar bakal menjadi lokasi utama tumpuan pelancong menerusi projek pembesaran jeti bermula tahun depan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, projek yang menelan kos pembangunan lebih RM20 juta meliputi kawasan seluas 13 hektar dengan melaksanakan kerja-kerja penambakan laut bagi membina sebuah bangunan dan beberapa kemudahan lain termasuk padang bola di Sekolah Tahfiz Al-Amin, Pulau Besar.

“Projek menaik taraf jeti tersebut bakal mentransformasikan jeti penumpang kepada jeti kargo serta akan dilengkapi lebih banyak parkir kenderaan untuk menampung jumlah pelancong mahu pun pengunjung yang ramai nanti,” katanya.

Adly berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Projek Tambakan Laut Anjung Batu di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim; Pengerusi Rohas Tecnic Bhd dan Pengarah Rohas Tecnic Bhd, Wan Afzal Aris Wan Azmi.

Menurutnya, penambakan laut itu juga memberi keuntungan kepada kawasan darat dan juga Pulau Besar apabila projek itu siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan selepas diluluskan.

“Projek ini bermula pada 2019 dan dijangka siap dalam tempoh enam bulan sekali gus menarik lebih ramai pelancong menggunakan kemudahan Jeti Anjung Batu.

“Syarikat Rohas Tecnic Bhd telah membayar RM1.57 juta kepada kerajaan negeri dan bayaran dibuat pada 29 Jun lalu bagi melancarkan perjalanan projek itu,” katanya.

Adly berkata, projek dalam proses kelulusan Environmental Impact Assessment (EIA) itu mampu memberi perkembangan positif kepada ekonomi negeri dan limpahan rezeki kepada penduduk setempat.