MELAKA TENGAH - Pembinaan persimpangan bertingkat di Peringgit-MITC sudah 75 peratus siap dan dijangka selesai menjelang Februari tahun hadapan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam, Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pelaksanaan projek terbabit berjalan lancar dan segala permasalahan yang dihadapi sebelum ini berjaya diselesaikan.

Menurutnya, beliau telah meninjau dan melihat sendiri perkembangan di projek berkenaan baru-baru ini.

“Saya berpuas hati dengan perkembangan semasa projek pembinaan tersebut.

“Saya dapati ia berjalan dengan lancar di mana segala permasalahan melibatkan kerja teknikal dan sebagainya telah berjaya diselesaikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Mohd Sofi turut memohon orang ramai supaya bersabar bagi membolehkan projek berkenaan disiapkan dengan teliti dan segera.

Jelasnya, kerajaan negeri memahami rungutan orang ramai mengenai masalah kesesakan lalu lintas dari Plaza Tol Ayer Keroh ke pusat bandar raya ekoran kerja-kerja pembinaan ini.

“Kami telah meneliti kembali projek ini bagi memastikan ia dapat disiapkan dengan segera.

“Saya juga tidak menolak kemungkinan ia dapat disiapkan lebih awal,” katanya.