SEREMBAN - Tindakan BN yang menarik diri daripada bertanding pada PRK Port Dickson 13 Oktober ini sememangnya telah dijangka.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, BN tidak memiliki calon yang sesuai untuk bertanding menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita ucapkan terima kasih kepada BN atas penarikan diri tersebut yang mana kita telah menjangkakannya di peringkat awal.

“Seperti saya maklum tempoh hari, kalau boleh tidak ada pilihan raya tetapi kita mengamalkan demokrasi yang masih memberi ruang kepada individu dan parti lain bertanding.

“PH di peringkat negeri bersedia dari semasa ke semasa supaya pilihan raya ini dapat dijalankan kalau ada pertandingan,” katanya.

Aminuddin berkata, seperti semua maklum,  Anwar akan bertanding selepas beliau dibebaskan dan akan ada kerusi dikosongkan.

“Kita sudah maklumkan perkara ini ketika kempen lagi. Jadi tidak timbul masalah atau isu. Yang kita lihat BN jika bertanding mereka juga khuatir sokongan kepada mereka terus merosot.

“Ini jadi satu implikasi kepada mereka menanggung kemerosotan yang berterusan dan sokongan di peringkat akar umbi akan hilang, itu sebenarnya masalah yang berlaku  pada mereka,” katanya.

Terdahulu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  berkata, BN tidak akan meletakkan calon pada PRK Port Dickson yang akan diadakan 13 Oktober ini.