ALOR GAJAH - Polis Melaka bertekad untuk mengurangkan kadar kemalangan pada musim perayaan ini menerusi Op Selamat 13.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, ia penting bagi memastikan peningkatan kes dalam Op Selamat seperti sebelum ini menjelang sambutan Aidilfitri tidak terus berlaku sehingga menimbulkan kebimbangan.

“Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Op Selamat 11 mencatatkan 795 kes berbanding Op Selamat Sembilan pada tahun sebelumnya sekali gus menunjukkan peningkatan 80 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Op Selamat 13 sempena Hari Raya Aidilfitri 2018 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari di pekan Durian Tunggal, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan kajian sebilangan besar kemalangan yang berlaku di negeri ini impak pengguna yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

“Ini termasuk memandu laju melebihi had yang ditetapkan, tidak mematuhi lampu isyarat serta memotong di dua garisan berkembar.

“Malah kita yakin peningkatan 10 peratus jumlah kemalangan itu seiring dengan peningkatan jumlah kenderaan di atas jalan raya namun pemantauan dan penguatkuasaan berterusan penting untuk mengawalnya,” katanya.

Sementara itu, Adly berkata, kesedaran keselamatan perlu diperluaskan bukan hanya kepada pengguna di kawasan bandar yang akan pulang beraya di kampung, malah pengguna luar bandar juga tidak terkecuali.