SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh di Nilai dan Seremban.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad Yusof berkata dua suspek iaitu Wong Chun Yen, 31, yang alamat terakhirnya di No,7 Taman Mambau, Jalan Jelawat 3, Seremban dan Seh Woon Loong, 47, yang beralamat di 281, Jalan Rahang, Seremban dicari bagi membantu siasatan di Seremban.

“Kedua-dua suspek ini dipercayai dapat membantu siasatan berhubung kes seorang lelaki Cina berumur 41 tahun yang telah dipukul hingga menyebabkan kematiannya pada 11 April 2015 di sebuah restoran di sini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata seorang lagi suspek,  K.Nagarajan, 30, yang alamat terakhirnya 11915, Jalan BBN 6/2N, Desa Cempaka Putra Nilai, pula dicari bagi membantu siasatan kes di Nilai yang melibatkan kehilangan seorang lelaki India berumur 43 tahun pada 16 Julai 2015 dan mayatnya tlah dijumpai di Mantin pada 3 Mac tahun lepas.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek, diminta menghubungi pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Nor Azman meminta masyarakat supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihaknya sekiranya mendapati ada premis yang menjalankan kegiatan judi dalam talian.

"Pihak polis sentiasa membuat pemantauan kepada 135 premis pusat hiburan keluarga di seluruh negeri ini untuk memastikan tiada kegiatan judi beroperasi,” katanya. - Bernama