SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan memberkas tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam sindiket mencuri kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux di negeri itu  sejak awal tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Nor Azman Muhammad berkata dengan penangkapan itu pihaknya percaya dapat menyelesaikan 10 kes kecurian kenderaan berkenaan bernilai kira-kira RM1 juta.

Suspek berusia 21 hingga 31 tahun terbabit ditahan di Genting Highlands pada 7 Sept lalu, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan mendapati sindiket mencuri kenderaan terbabit untuk dijual di pasaran luar negara pada harga lebih murah antara RM14,000 dan RM20,000, berbanding harga pasaran kira-kira RM100,000 sebuah.

Nor Azman berkata dua suspek berasal dari Seremban dan seorang lagi dari Port Dickson.

Kesemua mereka juga positif dadah jenis amfetamina, katanya.  - Bernama