TAMPIN – Hujan lebat berserta angin kencang dan petir melanda Felda Bukit Jalor, Gemencheh, di sini, menyebabkan sebatang pokok bacang berusia 40 tahun tumbang menghempap sebuah rumah di penempatan Felda berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Jumaat lalu, enam rumah terjejas membabitkan kerosakan di bahagian atap serta bumbung rumah yang diterbangkan angin kencang.

Menurut seorang mangsa, Samsudin Ayob, 59, ketika kejadian dia dan isterinya, Noryati Mohd Nor, 57, berada di bahagian dapur rumah mereka kerana membetulkan bahagian siling rumah yang dimasuki air hujan susulan hujan yang terlalu lebat.

“Tiba-tiba kami dengar bunyi benda jatuh dan berkecai. Dalam jarak lima meter sebatang pokok telah tumbang menghempap bahagian belakang rumah kami mengenai sebahagian atap luar dapur rumah. Mujur pokok bacang yang tumbang.

“Jika pokok kelapa berdekatan rumah kami yang tumbang mungkin kerosakan rumah makin teruk. Dalam kejadian ini beberapa atap rosak dihempap pokok dan kayu sokongan di bahagian belakang rumah juga rosak,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Samsudin berkata, dia sudah lebih 20 tahun menetap di tanah rancangan bersama isterinya dan kejadian berkenaan baru pertama kali dihadapinya.

“Mungkin ada rumah lain yang terjejas sebelum ini, namun kejadian seperti ini baru pertama kali dihadapi kami sekeluarga.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Jalor, Rosli Baharudin berkata, kali terakhir kejadian seumpama itu berlaku adalah pada dua tahun lalu.

Menurutnya, kejadian terbaru berlaku itu membabitkan enam rumah iaitu empat daripadanya di kawasan Felda dan dua di kuarters guru.

Menurutnya, kerja-kerja baik pulih membabitkan dua rumah di kuarters guru akan dilaksanakan dengan peruntukan Parlimen Tampin atau Pejabat Dun memandangkan penempatan berkenaan sebelum ini didirikan hasil kerja gotong-royong penduduk buat guru.

“Ini hasil perbincangan dengan Adun Gemencheh, Datuk Mohd Isam Mohd Isa yang turun padang melawat keadaan mangsa. Manakala, bagi kerja-kerja baik pulih empat rumah lagi akan dilaksanakan Felda,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SUNGAI BESAR - Seorang ibu meraung hampir sejam di sebuah kantin sekolah sebaik mengetahui anaknya yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, maut dihempap sebatang pokok tumbang di Lata Charok, Janda Baik di sini, pagi tadi.
  • SERKAM - Seorang warga emas Abu Bakar Dollah,67, bersyukur kejadian pokok tumbang di rumahnya di Serkam Timur pagi semalam tidak melibatkan kecederaan kepada ahli keluarganya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.