SEREMBAN - Taklimat  Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 (RUUK 2016) yang diadakan secara jelajah di semua cawangan, mampu menjadi platform penerangan kepada rakyat berkenaan dengan perubahan lapan dasar yang dikemukakan dalam RUUK 2016 tersebut.

Pengarah Jabatan Insolvensi Malaysia, Negeri Sembilan, Nurul Hidayah Ismail berkata, penerangan RUUK 2016 adalah disasarkan dalam kalangan agensi-agensi kerajaan, pemegang kepentingan dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Menurutnya, antara lapan perubahan dasar dalam RUUK 2016 yang perlu diketahui umum adalah penjamin sosial tidak boleh dibankrapkan.

“Dalam pindaan tersebut, ia memberi pelindungan kepada penjamin sosial di mana sebelum ini penjamin sosial diibaratkan sebagai ‘orang teraniaya’ dan sering menjadi mangsa diisytiharkan bankrap kerana peminjam gagal melangsaikan hutang.

“Bagaimanapun, dengan adanya pindaan RUUK 2016, penjamin sosial ini terselamat daripada kes-kes sedemikian,” katanya ketika berucap pada Jelajah Taklimat Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 Jabatan Insolvensi Malaysia di Wisma Negeri.

Nurul Hidayah berkata, selain perlindungan penjamin sosial, lain-lain yang termaktub dalam lapan perubahan dasar itu adalah notis petisyen kebankrapan disampaikan secara kediri, mekanisme penyelamat, nilai minima kebankrapan dinaikkan dan pelepasan automatik.

“Turut dipinda berkenaan dengan pelepasan bankrap tanpa bantahan pemiutang, sistem satu perintah kebankrapan dan tabung bantuan insolvensi,” katanya

Menurutnya, secara keseluruhannya, RUUK 2016 akan menjadi asas kukuh bagi mengekalkan momentum Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) sebagai sebuah jabatan yang komited dalam memberikan kualiti penyampaian dan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

“Ia secara tidak langsung menyahut cabaran perkembangan ekonomi semasa selaras dengan seruan kerajaan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Akta Kebankrapan 1967 (Akta 360) telah dipinda melalui RUUK 2016 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 29 Mac 2017 dab Dewan Negara pada 26 April 2017.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung mencadangkan suatu Rang Undang-undang persendirian mengawal selia peruntukan persekutuan kawasan pilihan raya, dilakukan agar agihan lebih telus.
  • PADANG BESAR - Pihak yang mempersoal mengenai Pindaan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016 yang diluluskan oleh Dun Perlis adalah kerana mereka tidak faham tentang isu berkenaan.
  • BENTONG - Kerajaan diminta memberi penjelasan sehingga ke akar umbi berhubung isu pindaan Akta 355 kepada rakyat pelbagai kaum yang dibentangkan di Dewan Rakyat, Mei lalu.
  • KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas Terengganu akan meneruskan inisiatif berjumpa dengan mana-mana pihak bagi mendapat maklum balas serta memberi penjelasan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta 355 iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.