MELAKA TENGAH - Bagi menyemarakkan sambutan Aidiladha, lebih 25 buah tapak niaga diwujudkan di Pesta Lelong pekarangan pusat mem­beli-belah Tesco Bandaraya sejak 17 Ogos lalu.

Penyelaras program, Khairul Effandy Mohd, 37, berkata, pesta itu bukan sahaja memberi peluang pengunjung dan pengguna membeli-belah terutama pakaian, kasut, tudung, beg, cermin mata dan se­bagai­­nya dengan harga ber­patutan.

Katanya, pesta itu se­cara tidak langsung bantu peniaga kecil dan baharu bermula berniaga untuk mengutip penga­laman ketika suasana perayaan ini.

Menurutnya, lebih menarik tawaran harga kasut serendah RM15 dengan potongan 65 peratus selain jualan baju Melayu berharga RM10 dan pelbagai jualan yang disediakan bagi mem­bolehkan orang ramai mem­buat persiapan raya dengan berjimat.

“Walaupun baru beberapa hari pesta lelong ini dibuka, namun sam­butan yang kita terima begitu positif dan berharap jumlah pengunjung terus bertambah hari demi hari.

“Ini pertama kali saya anjurkan pesta lelong men­jelang Aidiladha dan ini menjadi medium kepada peniaga tempatan untuk menambahkan pendapatan pada musim hari raya,” katanya.

Jelasnya, pesta yang akan berakhir pada 26 Ogos ini, dibuka bermula dari jam 5 petang hingga lewat malam selain turut terdapat gerai jualan buah-buahan dan makanan.

“Sekiranya sambutan terus menggalakkan kita akan menambahkan lagi hari pesta ini hingga awal September depan.

“Secara tidak langsung ini juga salah satu usaha kita membantu kerajaan negeri mempromosikan Melaka, dan menarik pelancong berkunjung ke sini,” katanya.