SEREMBAN - “Ya ALLAH, saya tak sepatutnya biarkan ayah turun dulu,” kata Muhammad Akif, 25, dalam nada kesal selepas bapanya, Muhammad Rafid Robert Abdullah, 54, ditemui maut terjatuh dari tingkat tiga bangunan hentian bas dan teksi Terminal One di sini, semalam.

Kejadian kira-kira jam 3.20 petang itu disedari orang awam selepas terdengar bunyi dentuman kuat sebelum mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Paling tragis apabila Muhammad Akif yang turut berada di lokasi juga terdengar bunyi dentuman itu sebelum dia melihat dari tingkat atas ayahnya sudah terbaring kaku.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut terjatuh dari tingkat tiga]

“Saya datang ke Terminal One dengan ayah sebab dia beritahu nak jumpa kawan. Sepatutnya kami nak ke hospital kerana ayah mengadu badannya tak sihat, katanya dalam badan seperti ada wayar yang mencucuk-cucuk.

“Tapi ketika dalam perjalanan dia minta singgah ke Terminal One sekejap dan masa saya tengah cari tempat letak kereta selepas dia turun, saya dengar bunyi dentuman kuat.

"Bila saya tengok ke bawah, ayah dah terbaring,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham sebelum ini pernah mengadu seperti mengalami halusinasi dan sering memberitahu dalam badannya seperti ada ‘sesuatu’.

Kata Muhammad Akif, mereka sekeluarga sudah merujuk perkara itu ke hospital, namun ayahnya disahkan tidak mengalami masalah kesihatan.

“Cuma pernah doktor cakap ayah ada tumor dan perlu rawatan lanjut. Tapi simptom yang dia alami itu tidak ada apa-apa.

“Tapi dia selalu mengadu benda sama dan April lalu kami bawa ayah berubat dengan pengamal perubatan Islam, tapi keadaan dia tetap sama,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu salah seorang saksi, Jasa Arshad, 51, yang merupakan pemandu bas berkata, dia pada mulanya menyangka bunyi dentuman yang didengari adalah bunyi sampah dibuang dari tingkat atas.

Namun, katanya, dia dan orang awam terkejut selepas melihat ada lelaki terbaring berlumuran darah.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini, untuk tindakan lanjut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLUANG - Seorang lelaki maut dilanggar sebuah kenderaan ketika melintas jalan di km 61.2 Lebuhraya Utara Selatan, di sini, malam tadi.
  • SABAK BERNAM - Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang melecur 95 peratus akibat disambar api dalam kejadian di Parit 12, Sungai Nibong, di sini, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, pagi tadi.
  • JOHOR BAHRU - Rasa terkilan sudah tidak membawa sebarang erti tatkala kini hanya boleh mengharapkan perjalanan rohani yang senang ditempuhi lapan remaja yang maut dalam tragedi rempuhan basikal di Jalan Lingkaran Dalam, setahun lalu.
  • KOTA BHARU - Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang diboncengnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan Masjid Peringat, di sini, malam tadi.
  • IPOH - Mayat lelaki dengan kesan tembakan di kepala yang ditemui dalam hutan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Bintang Hijau di Jalan Kupang, Gerik Khamis lepas dipercayai mati akibat terkena tembakan rakan sendiri.