SEREMBAN - Bukan bantuan wang ringgit diharapkan, tetapi cukuplah lampin pakai buang untuk kegunaan anak bongsunya yang juga orang kurang upaya (OKU).

Menurut Maizura Yaakob, 41, anaknya Nur Emanina, 19, tidak mampu menguruskan diri selepas menghidap celebral palsy atau lumpuh otak pada usia tiga tahun.

“Dia disahkan menghidap penyakit itu selepas diserang sawan akibat demam panas. Walaupun meningkat remaja, tapi saya perlu menjaganya seperti seorang bayi.

“Sebab itu, dia perlu dipakaikan lampin pakai buang. Untuk satu beg hanya mampu bertahan dalam seminggu saja dan dalam tempoh sebulan kami terpaksa peruntukkan lebih RM100,” katanya selepas menerima sumbangan lampin pakai buang daripada pasar raya Family Store dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan di Kampung Labu Batu 9, di sini.

Sumbangan diserahkan Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Selain itu, Maizura berkata, suaminya bekerja sebagai pembekal tayar kenderaan dengan pendapatan tidak menentu bagi menampung kos kehidupan keluarga dan keperluan Nur Emanina.

Dia dan suami juga pernah memohon bantuan lampin pakai buang daripada Baitulmal, tetapi diberitahu hanya bantuan perubatan disediakan.

“Emanina ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan tetapi ia tidak cukup buat kami, lebih-lebih lagi hanya suami seorang saja yang cari rezeki.

“Saya nak kerja, tapi siapa pula nak tengokkan Emanina. Sebab itu saya harap sangat Emanina dapat bantuan lampin pakai buang setiap bulan, setidaknya ringan beban perbelanjaan” katanya.

Sementara itu, Adun Labu, Ismail Ahmad berkata, beliau akan berusaha membantu keluarga ini termasuk mempertimbangkan bentuk bantuan sewajarnya.