SEREMBAN - Perjanjian untuk membangunkan hab penerbangan di Labu dekat sini dijangka dimeterai awal bulan depan.

Exco Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan Negeri Sembilan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata,

Beliau berkata, perjanjian antara Perbadanan Negeri Sembilan, Airbus, AirAsia dan Sime Darby itu juga dijangka disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perancangan untuk membangunkan hab penerbangan di Labu sebagai pusat penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat komersial berjalan dengan baik.

“Kajian kemungkinan akan bermula Januari 2019 dan kita mengharapkan dalam tempoh selesainya kajian kemungkinan itu, projek hab penerbangan ini boleh berjalan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutup seminar Penyelidikan Pendidikan Antarabangsa 2018 anjuran Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Teknologi Mara, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Universitas Andalas, Indonesia.

Mohamad Rafie berkata, penubuhan Perbadanan Negeri Sembilan diluluskan sidang Dun baru-baru ini.

Beliau berkata, fungsi utama Perbadanan Negeri Sembilan adalah merangka strategi dan merancang pelan pembangunan ekonomi Negeri Sembilan bagi tempoh sekarang sehingga 2050.

“Ia melibatkan semua kawasan Negeri Sembilan dan merangkumi semua sektor ekonomi. Ini penting kerana kita ingin memastikan pembangunan di Negeri Sembilan secara terancang.

“Kita bukan hanya setakat merangka pelan pembangunan malah bertanggungjawab untuk memastikan ia berjalan,” katanya.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau menyarankan penyelidikan pendidikan didokumentasikan supaya orang ramai boleh mengetahuinya.

Sebanyak 57 kertas kerja penyelidikan pendidikan termasuk enam dari Universitas Andalas, Indonesia dibentangkan pada seminar kali ini. - Bernama