• Perigi lama simpan sejarah, jadi sumber air utama tentera Belanda Perigi Belanda yang terletak di dalam kawasan kampung di Jalan Hashim, Alai, kurang diketahui orang ramai.
1 /

MELAKA - Sama ada disedari atau tidak, masih ramai penduduk sekitar negeri ini tidak tahu kewujudan sebuah perigi lama peninggalan sejarah semasa zaman penjajahan kerajaan Belanda yang terletak di Jalan Hashim, Kampung Alai, di sini.

Perigi berkenaan pernah berfungsi sebagai sumber air utama tentera Belanda yang bertugas di situ, di samping sebagai keperluan minuman serta memandikan kuda milik mereka ketika era penjaja-hannya di Tanah Melayu.

Lokasinya perigi berkenaan terletak kira-kira 400 meter dari laluan masuk kampung terbabit, berhampiran simpang lampu isyarat Alai.

Namun, sebahagian besar mereka kurang menyedari mengenai kewujudan perigi yang menyimpan seribu satu kisah sejarah itu. Penduduk berhampiran, Hasnoryanti Hashim, 29, berkata, biarpun ada sebilangan pengunjung yang melawat perigi berkenaan, namun jumlahnya amat kecil.

“Pada pandangan saya mereka yang berkunjung ke perigi itu barangkali ingin melihat keadaan atau bentuk perigi berkenaan selepas mengetahui mengenainya menerusi maklumat di muzium atau Internet.

“Mungkin juga ada yang perasan atau terlihat papan tanda Perigi Belanda yang dipasang di tepi jalan depan kampung ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi berkenaan, semalam.

Pengunjung tempatan, Zikri Abdullah, 46, dari Jasin berkata, dia juga tidak mengetahui adanya perigi lama tinggalan sejarah di lokasi terbabit.

“Walaupun pada zahirnya perigi lama itu nampak seperti biasa sahaja, tetapi ia tetap mempunyai nilai sejarah berdasarkan pada maklumat mengenai sejarah kewujudannya yang dipaparkan pada papan kenyataan di situ," katanya.

Berdasarkan maklumat dipaparkan pada papan kenyataan, perigi berkenaan dipercayai dibina tentera Belanda yang berkawal di situ semasa menentang orang Bugis.

Maklumat juga mencatitkan bahawa perigi berkenaan dibina menggunakan batu bata Belanda yang biasanya terdapat pada bangunan milik mereka.

Menurut cerita penduduk kampung juga, air perigi itu tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau dan ia seringkali digunakan penduduk berhampiran untuk kegunaan harian dan masih kekal hingga kini.