REMBAU - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali menghadiri Rumah Terbuka Deepavali 2018, di Dataran Rembau  di sini, malam ini.

Ketibaan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pada 9.04 malam disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Wathya Moorthy dan para barisan exco kerajaan Negeri Sembilan.

Perdana Menteri kemudiannya turut meninjau hiasan 'kolam' burung merak yang terletak di sebelah kanan dataran.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Terdahulu Dr Mahathir dan isteri meluangkan masa me­lawat Pusat Jagaan Kanak-kanak Vivekananda di sini.

Beliau dan isteri mengambil masa kira-ki­ra 15 minit melawat pusat berkenaan termasuk melawat galeri selain beramah mesra dengan lebih 40 penghuni pusat berkenaan yang berusia lingkungan lima hingga 18 tahun.

Pada lawatan itu, Dr Mahathir turut menyampaikan cenderahati berupa beg sekolah yang dilengkapi kelengkapan sekolah kepada kanak-kanak di pusat tersebut.  

Pusat Jagaan Kanak-kanak Vivekananda dihuni lebih 40 penghuni berusia lingkungan lima hingga 18 tahun terdiri daripada golongan miskin, kanak-kanak terabai, kanak-kanak kelainan upaya termasuk ibu tunggal. - Bernama