MELAKA - Rakyat diminta tidak membuat perban­dingan harga ketika pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) selepas 1 September lalu dengan harga sepanjang tempoh tiga bulan pelaksanaan sifar cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang bermula Mei lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebaliknya perbandingan tepat adalah antara tempoh pelaksanaan GST dan semasa SST 1 September lalu.

“Kita tidak boleh buat perbandingan harga antara tempoh Jun, Julai dan Ogos kerana itu tempoh yang kita panggil ‘tax holiday’ sebab tidak dikenakan apa-apa cukai baik GST mahupun SST.

“Sepatutnya dalam tempoh tersebut tiada peningkatan harga akibat cukai. Yang boleh diban­dingkan ialah antara SST 1 September dengan GST iaitu Mei dan sebelumnya, barulah perbandingan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi menyemak pelaksanaan SST bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Oriental Food Industries Sdn Bhd (Oriental Food) di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Jamil Salleh; Pengarah KPDNHEP Melaka, Jaiya Abu dan Ketua Pegawai Eksekutif Oriental Food, Datuk Son Tong Leong.

Saifuddin berkata, KPDNHEP akan membuat pemantauan secara menyeluruh meliputi semua rantaian iaitu pembekal, pengilang, peniaga dan pengguna sepanjang tempoh pelaksanaan SST sejak 1 September lalu.

Beliau sendiri menjelaskan akan turun ke lapangan iaitu bertemu sendiri dengan kesemua empat cabang rantaian itu bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atau menjadi mangsa manipulasi harga sejak SST dilaksanakan.

“Kementerian akan melaksanakan langkah berterusan iaitu turun sendiri ke lapangan di mana kita akan dapatkan maklumat selain melihat sendiri proses bagaimana sesuatu produk dihasilkan, dikilangkan, dibekalkan sehingga sampai kepada pengguna.

“Jika sebelum ini kita hanya mendengar taklimat sahaja berhubung pelak­sanaan GST tetapi apabila SST dilaksanakan kita akan turun padang bertemu pengilang dan jika ada aduan daripada pengguna kita boleh buat perbandingan margin keuntungan yang diambil oleh peruncit,” katanya.