JASIN - Seorang penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Temerloh, Pahang, maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 33 Jasin-Selandar di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Zuhaiman Othman, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala kira-kira jam 4.50 petang.

Ketua Polis Jasin, Deputi Superintendan Sakri Yusoff @Zahari berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari arah Selandar ke Jasin.

“Tiba di tempat kejadian, mangsa terbabas dipercayai gagal mengawal motosikal lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori Hino.

“Akibat kemalangan itu, mangsa dari Bukit Katil meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Seorang lelaki dan wanita maut manakala seorang lagi lelaki cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta di KM53.2 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat dekat Pontian, petang tadi.
  • LUNDU - Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Sampadi-Lundu di sini pagi tadi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.