MELAKA TENGAH -  Pentadbiran negeri Melaka masih mentah dan perlu ada badan penasihat untuk memandu arah kerajaan supaya dapat beroperasi dengan aman dan berhemah.

Pesuruhjaya Pas negeri, Kamaruddin Sidek berkata, sejak mengambil alih pentadbiran banyak polisi 'syok sendiri' diperkenalkan tanpa mengambil kira demografi rakyat negeri ini.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) perlu ada barisan penasihat bagi menghindari kerunsingan rakyat malah dalam kalangan pengundi parti itu sendiri.

"Rata-rata semua wakil rakyat Harapan yang menang PRU14 lalu tiada pengalaman dalam pentadbiran negeri. Ini dapat dilihat beberapa polisi diketengahkan sepanjang dua bulan ini bersifat kontroversi.

"Pas bimbang senario sekarang akan bertambah meruncing kalau tidak diurus dengan baik. Kita hormati kerajaan baru tetapi mereka tak boleh buat sesuka hati mengikut emosi," katanya kepada Sinar Harian tadi.

Kamaruddin berkata, bermula dengan isu rumah rasmi ketua menteri, ia diikuti isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan seterusnya isu permodenan ternakan babi di Paya Mengkuang, Alor Gajah.

"Bagi kami perkara yang sensitif tak sesuai diperkenalkan di awal pemerintahan Harapan atas dasar semata-mata ingin beralasan itu termaktub dalam manifesto pada PRU14 lalu.

"Rakyat faham bukan semua mampu dilaksanakan dengan segera bahkan sebahagian pengundi tak baca pun manifesto Harapan sebelum ini.

"Apa yang mereka mahu sebenarnya, kurangkan kos sara hidup apabila Harapan menang, bukan polisi-polisi yang sensitif diperkenalkan," katanya.