SEREMBAN - Penjawat awam yang berstatus kontrak mahupun sementara turut mempunyai perlindungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, M Nallusamy berkata, bagaimanapun keistimewaan ini tidak diketahui ramai malah ada segelintir daripada mereka tidak tahu mengenai adanya perlindungan tersebut.

“Perlindungan Perkeso ke atas penjawat awam dan badan berkanun berstatus kontrak dan sementara mula dilaksanakan pada 1 Jun 2013, tetapi masih ramai yang tidak mengetahuinya.

“Perkeso memberi perlindungan sama seperti pekerja swasta dan disebabkan ramai yang tidak mengetahuinya Perkeso melalui Skuad Prihatin, akan memperkasakan lagi jentera untuk berkempen memaklumkan kepada masyarakat mengenai faedah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan cek Faedah Pengurusan Mayat kepada waris pasangan suami isteri yang maut akibat kemalangan jalan raya, kelmarin.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isteri pula menyusul pergi]

Dalam kejadian 18 Jun lalu, mangsa, Mohd Nor Rashid bersama isteri, Siti Rahja Ujang meninggal dunia dan meninggalkan tiga anak.

Allahyarham Siti Rahja ialah guru Tabika Kemas berstatus kontrak, manakala suaminya adalah anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau.

Cek diserahkan kepada anak sulung pasangan terbabit, Siti Hazuwani Mohd Noor, 27.