SEREMBAN – Jumlah penggunaan kereta klon di negeri ini menunjukkan penurunan sehingga 40 peratus sejak tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Azrin Borhan berkata, keadaan itu memberi gambaran bahawa masyarakat semakin sedar memiliki kereta klon merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-udang.

“Dengan pelbagai program advokasi yang sering diadakan serta operasi, kami berjaya meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai perkara itu.

“Secara dasarnya kes kereta klon di negeri ini tidaklah begitu membimbangkan, tapi dengan penurunan kes ia menunjukkan perkembangan positif,” katanya.

Menurutnya, kenderaan klon menjadi tarikan pembeli kerana ia dijual dengan harga jauh lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Harga kereta sekarang pun dah murah, jadi tiada sebab nak beli kereta klon yang akhirnya menyusahkan diri sendiri.

“Walaupun kes menurun, tapi JPJ akan terus melakukan pemantauan secara berterusan dan saya menggesa pemilik kenderaan klon supaya menyerah diri kepada JPJ bagi mengelakkan dikenakan tindakan lebih tegas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Raya JPJ Negeri Sembilan, hari ini.

Azrin berkata, pemilik  kenderaan klon boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, Seksyen 108 APJ 1987 kerana mempamerkan nombor kenderaan palsu, Seksyen 15 (1) APJ 1987 (tiada lesen kenderaan motor) dan Seksyen 90 (1) APJ 1987 (tiada perlindungan insurans).

Sementara itu pada majlis berkenaan, kira-kira 500 tetamu hadir termasuk Speaker Dun Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.