MELAKA TENGAH - “Dulu memang ada lalat, tetapi ia datang dalam tempoh beberapa minggu sahaja, kemudian hilang, yang kami lalui kini lebih sebulan dan lalat semakin hari semakin bertambah,” kata penduduk Kampung Machap Baru,  Tai Choo Chang di sini, semalam.

Choo Chang, 37, yang juga pengusaha restoran berkata, dia buntu untuk menyelesaikan masalah itu termasuk telah banyak membeli ubat dan mengelap meja, namun serangga itu tetap berkerumun sehinggakan pelanggan kerap mengadu.

Menurutnya, lebih perit apabila berlaku insiden lalat termasuk dalam makanan pelanggan, namun bernasib baik mereka faham dan mahu tukar makanan lain.

“Saya risau jika berterusan, pendapatan saya akan terjejas, nasib baik pelanggan tak ambil gambar dan viralkan lalat itu.

“Tolonglah, sampai bila kami mahu terus begini, diganggu banyak lalat, harap pihak berkenaan ambil tindakan,” katanya.

Bagi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu, Chiang Swee Eng, 43, masalah itu berterusan melanda penduduk walaupun berkurangan terutama pada waktu malam, namun ia masih merisaukan.

Katanya, sekiranya berlarutan ia akan memberi kesan ke atas kesihatan penduduk dan walaupun belum ada kes keracunan namun, tidak mustahil ia berlaku.

“Kebanyakan penduduk terpaksa tutup pintu seharian kerana tidak tahan dengan kehadiran lalat yang banyak termasuk tidak boleh biarkan makanan terdedah.

“Kita dah panjangkan masalah ini kepada wakil rakyat dan berharap tindakan sepatutnya diambil,” katanya.

Choo Chang

Swee Eng berkata demikian ketika lawatan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye di Kampung Machap Baru di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Machap Jaya, Ginie Lim Siew Lin; Pegawai Kesihatan Alor Gajah, Haslinda Hamzah; Pakar Perubatan Kesihatan Awam negeri, Dr Shazelin Alipitchay dan Pegawai Veterniar Alor Gajah, Zulaikha Jaafar.Ganggu operasi perniagaan makanan

Sementara itu, Ginie Lim berkata, pihak berkaitan akan melakukan kajian dan penilaian untuk mengetahui punca kehadiran lalat di kampung terbabit dan keputusan dijangka dalam masa terdekat ini.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan tindakan diambil termasuk mengeluarkan notis dan kompaun atau sebaliknya kepada pihak yang menjadi punca.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan antara faktor berlaku disebabkan ladang ternakan ayam berdekatan sehingga mengundang kehadiran lalat.

“Ada banyak faktor dan selain itu penduduk disaran mementingkan kebersihan dengan membuang sampah sarap menggunakan kaedah yang betul kerana itu juga boleh menyebabkan lalat berkerumun di sini.

“Kita akan beri tempoh kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan dan berharap penduduk bersabar, jika tidak dapat hilangkan terus lalat, sekurang-kurangnya kurangkan jumlah lalat berbanding sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Boon Chye berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri menekankan kepada pengusaha ladang atau pun ternakan guna kaedah sistematik iaitu sistem ladang tertutup selaras keperluan semasa dan perkembangan teknologi.

“Banyak masalah kehadiran lalat disebabkan faktor itu termasuk di tempat saya sendiri di Tambun, Setiawan dan banyak lagi di tempat lain dan jika sistem itu dipraktik ia akan bantu selesaikan masalah itu,” katanya.