MELAKA TENGAH - Pemuda Umno Bahagian Jasin mahu mengadakan rundingan bersama Ketua Menteri berhubung isu Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC).

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, perbincangan berkenaan bukan bertujuan untuk membantah namun dalam usaha mencari penyelesaian terbaik sekali gus meredakan kerunsingan rakyat terutama rakyat negeri ini berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, biarpun ada pihak yang telah melakukan demonstrasi aman sebagai bantahan kepada pengiktirafan UEC, namun pergerakan itu lebih mengambil sikap positif dan bersangka baik bagi mendapatkan penjelasan yang sebenar dari Ketua Menteri, Adly Zahari mengenai isu tersebut.

“Kami bukan mahu terus memb antah, tapi pendekatan kami ingin perbincangan dengan beliau terlebih dahulu supaya kami juga dapat turut serta untuk memberikan buah fikiran bagi memantapkan sistem itu.

“Namun sedikit kecewa apabila surat yang dihantar sejak Khamis lalu tidak mendapat sebarang maklum balas daripada Ketua Menteri dan pihak kami masih terus menunggu,” katanya.

Akmal berkata, sekiranya surat jawapan pihaknya masih dipandang sepi, beliau bersama ahli jawatankuasa dan Ketua Pemuda Umno Kota Melaka merancang untuk mengadakan pertemuan bersama pada hari bertemu rakyat Ketua Menteri, Jumaat ini.

Menurutnya, pergerakan itu juga menghormati Ketua Menteri yang dilantik sekarang, namun keengganan menjawab permohonan itu didakwa bercanggah dengan prinsip keterbukaan yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan.

“Pertemuan itu penting diadakan dengan seberapa segera supaya segala ketegangan dalam kalangan rakyat dapat diselesaikan.

“Kita yakin hanya dengan duduk di meja rundingan mampu menjadi penyelesai kemelut yang kini melanda umat Islam dan bangsa Melayu,” katanya.