SEREMBAN – Ahli PKR khususnya di Negeri Sembilan diharap dapat bersabar jika berlaku permasalahan pada sistem e-voting yang digunakan ketika proses pemilihan berlangsung.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata,sistem berkenaan yang pertama kali digunakan berkemungkinan ada kelemahan tetapi beliau percaya masalah itu akan diatasi bagi memastikan proses pemilihan berjalan lancar dan adil.

“Setiap kali pemilihan saya percaya kepimpinan tertinggi parti cuba pastikan semua berjalan dengan baik. Sebelum tarikh pemilihan pun, beberapa kali latihan dibuat untuk memastikan sistem baru ini berjalan baik.

“Tapi tak sangka ada masalah pula. Jadi, saya harap ahli dapat bersabar. Memang semua nak pilih pemimpin, tapi jaga adab dan imej parti sewaktu pemilihan dibuat,”katanya pada sidang media bagi mengulas mengenai insiden pergaduhan di pusat pengundian pemilihan PKR Cabang Merbok di Sungai Petani kelmarin.

Sinar Harian melaporkan kejadian itu tercetus apabila ramai anggota parti berang setelah menunggu lama disebabkan sistem e-voting gagal berfungsi sepenuhnya.

Sementara itu ditanya sama ada pemilihan PKR di negeri ini yang dijadualkan berlangsung 20 Oktober ini akan menggunakan sistem sama, Aminuddin berkata, beliau menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan.

Terdahulu beliau merasmikan seminar Fiqh Kewarganegaraan Dalam Naratif Malaysia Baharu di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.