SEREMBAN - Kerja baik pulih runtuhan cerun dengan membina tembok konkrit penahan tebing sepanjang 300 meter di Taman Bukti, Ampangan disini, akan dilakukan segera bagi mengelak kejadian tanah runtuh lebih besar.

Adun Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata, kerja melibatkan peruntukan besar berjumlah RM1.5 juta itu meliputi, membina dinding gabion (empat tingkat), kerja saliran dan 'backfilling' dan 'close turfing'.

"Kerja-kerja berkenaan akan mengikut cadangan juru perunding dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) akan melantik kontraktor bagi menyegerakan kerja-kerja membaik pulih berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas melawat lokasi runtuhan cerun di Taman Bukti, Ampangan di sini.

Turut serta, Yang Dipertua MPS, Datuk Abd Halim Abd Latiff.

Abu Ubaidah yang juga Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, berkata, tindakan segera itu mewujudkan sistem penahan cerun lebih stabil dan sistem perparitan  lebih sistematik.

Sementara itu, Abd Halim berkata, kejadian runtuhan cerun itu membabitkan belakang deretan enam rumah teres di Jalan Titiwangsa 1 yang berpunca daripada aliran air sungai semulajadi di kawasan itu.

"Runtuhan ini menyebabkan beberapa struktur rumah mengalami keretakan dan mendapan tanah.

"Justeru itu, kerja-kerja membaik pulih sistem saliran dan penstabilan cerun berkenaan perlu dilaksanakan segera bagi mengelak runtuhan besar berlaku dan memberi kesan sampingan kepada pemilik rumah terlibat," katanya.

Beliau berkata, Taman Bukti merupakan kawasan  melebihi 20 tahun dan taman perumahan itu dipisahkan dengan satu kawasan yang belum dibangunkan oleh anak sungai semulajadi.

Seorang pemilik rumah, Yusoff Ibrahim, 65, berkata, dia dan keluarganya selama ini hidup dalam kebimbangan berikutan runtuhan cerun di belakang rumahnya.

"Kejadian ini (runtuhan cerun) telah lama berlaku dan semakin serius sejak akhir-akhir ini.

"Setiap kali hujan, kami sekeluarga perlu ambil langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan yang boleh berlaku.

"Kebelakangan ini boleh nampak dengan jelas kesan-kesan runtuhan cerun, di mana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penduduk," katanya.

Menurutnya, tindakan segera akan diambil MPS memberikan kelegaan kepada penduduk terlibat.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MACHANG - “Makcik ingatkan peralatan elektrik meletup,” cerita mangsa, Sik Mek Siok, 74, di Kampung Temangan, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.