SEREMBAN - Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sudah selesai dan dijangka akan diumumkan Selasa nanti.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, senarai nama bagi MPKK itu melibatkan kesemua wakil daripada komponen PH di semua daerah di negeri ini.

"Kita akui ada kelewatan dalam soal melantik ketua kampung dan Ahli Jawatankuasa  (AJK) dalam MPKK tetapi ini hanya buat permulaan kerana bukan mudah kita nak susun, berlaku pertukaran sepenuhnya di semua peringkat daerah.

"Saya yakin selepas ini tidak akan ada masalah lagi dan setiap lantikan akan berkhidmat selama dua tahun sahaja kemudian kita akan buat lagi pemilihan baru," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, semua struktur organisasi Jawatankuasa Kemajuan, Keselamatan Kampung (JKKK) terdahulu diubah bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa di bawah pentadbiran PH.