REMBAU – Percutian dua sahabat sempena Aidiladha di kampung bertukar tragedi apabila kereta dinaiki mereka terbabas, lalu melanggar tembok di Kilometer 1 Jalan Pedas - Kundur, Kampung Pedas Tengah, di sini semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 4.25 petang itu menyebabkan Ahmad Fuad Darus, 20, maut di tempat kejadian. Sementara rakannya, Farmizan Pirman, 19, cedera di bahagian dada.

Kedua-duanya merupakan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),  sementara Farmizan dikatakan berasal dari Sabah dan menghabiskan cuti di kampung rakannya itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Muhammad Ridzuarn Abdul Rahman berkata, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan.

"Anggota bomba mengambil masa selama 11 minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu," katanya.

Menurutnya, mangsa maut di tempat kejadian dan jenazahnya dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat, manakala rakannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, saksi kejadian, Nurshafiqah Zakaria, 16, berkata, ketika kejadian, penduduk terkejut apabila terlihat kereta  Perodua Viva dinaiki mangsa melambung di depan rumah jiran.

Menurutnya, mereka kemudian mendapati pemandu kereta tersepit, manakala rakannya sedang mengurut dada sambil mengucap.

"Penduduk segera mengeluarkan penumpang tempat duduk hadapan. Ada penduduk yang memeriksa nadi mangsa di leher pemandu, bagaimanapun mereka dapati mangsa yang tersepit sudah meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Zainnah Pie, 43, berkata, dia tidak menyangka kereta yang terlibat kemalangan itu melibatkan anak saudaranya sendiri.

Menurutnya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Anak Air Kundur sebelum memberhentikan kereta sejurus melihat kemalangan tersebut.

“Sebaik melihat anak saudara saya sendiri, saya terus menghubungi abang saya untuk memaklumkan kejadian ini," katanya.

Menurutnya, Allahyarham Ahmad Fuad pulang bercuti sejak Aidiladha lalu dan rakan itu tidak pulang ke Sabah dan mengambil keputusan bercuti di rumah keluarga Allahyarham di Taman Pedas Perdana.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LIPIS - Dua maut, dua parah dan dua lagi cedera apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan empat buah motosikal di kilometer 4 Jalan Sungai Koyan - Kuala Medang di sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.
  • SEREMBAN - Seorang lelaki terselamat walaupun kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan dengan sebuah bas pekerja di Jalan Labu Nilai, di sini, semalam.
  • SEREMBAN - Sepuluh mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas pekerja dan kereta di Jalan Labu-Nilai berhampiran pekan Labu dekat sini, pagi tadi.
  • SEREMBAN - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan dua kenderaan lain, di KM269.7 Lebuh raya Utara-Selatan arah Utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, kira-kira 12.40 tengah malam tadi.
  • KOTA BHARU - Salah seorang pelajar tahfiz yang terlibat dalam kemalangan van beramai-ramai pada 7 Ramadan lalu di Kuala Krai masih lagi terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia dan memerlukan pemantauan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.