NILAI - Seorang pelajar warga Nigeria maut selepas terlibat kemalangan di jalan utama Taman Semarak berhampiran stesen minyak Petronas di sini, hari ini.

Pegawai Bomba Kanan II, Khairullizal Abu Kasim berkata, mangsa dikenali sebagai Audu Oyaele David, 34, didapati tersepit dalam kenderaan dipandu.

"Seramai lapan anggota menaiki satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai bergegas ke lokasi, berdasarkan panggilan kecemasan sekitar jam 8.31 pagi.

"Kita ambil masa lebih kurang 15 minit untuk keluarkan mangsa, guna peralatan khas.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan," katanya.

Menurutnya, Proton Saga FLX dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan hingga memasuki laluan bertentangan.

"Kemudian kereta mangsa bertembung dengan sebuah kenderaan lain jenis Lexus, lalu terbalik.

"Impak rempuhan menyebabkan wanita berusia 39 tahun yang memandu Lexus cedera di kepala.

"Dia telah dihantar ke hospital oleh orang awam, manakala mayat mangsa diserahkan pada polis untuk tindakan lanjut," katanya.