MELAKA - Kerajaan Melaka di bawah Pakatan Harapan (Harapan) akan  memastikan pelaburan asing dan tempatan yang dibawa masuk ke negeri ini memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Exco Industri, Perdagangan dan Pelaburan, Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, kerajaan negeri akan merancang penjanaan ekonomi secara inklusif bagi memastikan ekonomi negeri dapat ditingkatkan selaras taraf hidup rakyat.

“Kita hanya bercakap mengenai statistik pelaburan tertinggi dan (kawasan) perindustrian yang banyak, namun yang perlu dititikberatkan adalah bagaimana rakyat akan menerima faedah daripada ketiga-tiga (pelaburan, perindustrian dan perdagangan) aspek ini.

“Jika sekadar menguntungkan sesetengah pihak, kita tidak benarkan berlaku sebaliknya kita akan mencari alternatif yang dapat menjana pendapatan rakyat dalam berdepan tekanan kos sara hidup tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengangkat sumpah jawatan Exco di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri,  di sini, semalam.

Mohd Rafiq yang juga Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, pihaknya akan meneliti semula pelaburan asing yang dilihat merugikan diluluskan kerajaan negeri terdahulu bagi memastikan pelaburan itu menguntungkan negeri ini.

“Pelaburan melibatkan penjualan tanah besar-besaran kepada pihak asing, tidak memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan atau pun melibatkan pinjaman besar yang menambah hutang negeri, itu bukan pelaburan.

“Kita konsisten dengan manifesto Harapan untuk memastikan pelaburan itu seperti penanaman modal oleh pihak luar iaitu bukan pinjaman yang hanya menambah beban kepada negeri dan juga rakyat,” katanya.

Sementara itu, Adun Paya Rumput itu berkata, pelantikannya sebagai Exco adalah pengiktirafan kerajaan negeri terhadap golongan anak muda dalam usaha memberi nafas baharu kepada agenda kemajuan negeri ini.

“Saya akan memberi penekanan terhadap bidang yang dilihat berpotensi meningkatkan ekonomi belia terutama yang tinggal di luar bandar melalui galakan terhadap penerokaan bidang keusahawanan, memperkasa taraf pendidikan serta pembangunan sukan,” katanya.- Bernama