KUALA PILAH - Lokasi Pasar 1 Haribulan di hadapan Pejabat Pos Pekan Johol, di sini, bakal berwajah baharu apabila kerja-kerja membersihkan tapak baharu siap awal Oktober ini.

Adun Johol, Abu Samah Mahat berkata, kewujudan lokasi pasar berkenaan di tengah Pekan Johol menimbulkan kesesakan trafik.

“Jalan di sini adalah jalan utama pengguna jalan raya dari arah Selatan menuju ke Pantai Timur. Sudah semestinya, jalan ini akan sesak pada satu masa hingga boleh mengundang bahaya kepada peniaga, pengunjung dan pengguna jalan raya.

“Demi keselamatan semua pihak, saya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) mengambil inisiatif mencari lokasi baru untuk Pasar 1 Haribulan.

“Ternyata usaha murni ini dapat sokongan semua pihak dan sebidang tanah milik JKR telah dipilih untuk dijadikan lokasi baru tapak pasar ini iaitu di deretan kedai belakang pekan Johol,” katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, pasar ini sudah bertapak di sini sekitar tahun 80-an dan belum pernah berubah lokasi.

“Penduduk sentiasa tertunggu-tunggu pasar ini kerana ia dibuka pada setiap 1 hari bulan dalam tempoh 30 hari.

“Tak kiralah, 1 hari bulan tu jatuh pada hari waktu bekerja ataupun hujung minggu, pasar ini tetap beroperasi seperti biasa. Itulah keunikan Pasar 1 Haribulan dan pastinya memiliki pelanggan setia,” katanya.

Menurutnya, pembukaan tapak baharu dijangka siap pada awal Oktober setelah kerja-kerja membersihkan tapak bermula Mei lalu.

“Lebih kurang 50 peniaga akan beroperasi di tapak baru, selain memberi keselesaan malah ia mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

“Ini kerana, tapak sedia ada, dibina atas jalan raya yang mana menjadi laluan kenderaan. Apabila sebuah lori kontena mahupun lori membawa muatan balak, sedikit sebanyak menggusarkan hati pengunjung dan peniaga, bimbang berlaku kemalangan,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan, kewujudan pasar berkenaan bermula dari penduduk kampung yang membeli keperluan dapur pada 1 hari bulan sahaja.

Ini kerana, zaman dahulu, pejabat Pos di pekan Johol menjadi tumpuan orang kampung untuk mengeluarkan wang setelah dikirim anak-anak mereka.

Disebabkan waktu itu kemudahan kenderaan awam amat terhad dan menyebabkan penduduk hanya keluar ke pekan Johol sebulan sekali untuk mengeluarkan wang.  

Di kesempatan itu, beberapa peniaga tempatan cuba membuka gerai kecil di tepi sepanjang jalan utama Johol berhampiran Pejabat Pos dan sehingga kini, pasar ini mampu bertahan walaupun berganti tahun.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.