• Nik Abdul Aziz Nik Abdul Aziz (depan dua, kiri) bersama lukisan Burung Kelicap bernilai RM1,000 yang dijual.
1 /

LENGGENG - Bukan sekadar parti yang hanya tahu berpolitik, sebaliknya Pas juga turut bergiat aktif dalam aktiviti bermanfaat termasuk isu penjagaan alam sekitar bagi menjamin masyarakat menikmati kehidupan berkualiti.

Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamad Taufek Abd Ghani berkata, isu alam sekitar dan kepentingan rakyat turut menjadi agenda perjuangan Pas, selain penglibatan dalam isu politik.

“Isu alam sekitar merupakan sesuatu yang universal dan global. Ia mampu memberi kesan secara langsung kepada hidup manusia tanpa mengira kedudukan, agama, bangsa dan parti yang disokong.  

“Justeru, kita cuba memupuk kesedaran di kalangan masyarakat hari ini betapa pentingnya memiliki persekitaran yang bersih untuk kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Makan Malam Alam Sekitar dan NGO Bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Markas Pas Lenggeng, Taman Ulu Beranang, di sini, malam kelmarin.

Mohamad Taufek berkata, isu alam sekitar wajar dititik beratkan kerana apabila berlaku sesuatu bencana, semua akan terkena tempiasnya.

“Jika di luar negara, bencana melibatkan alam sekitar dipandang serius berikutan mampu memberi impak kepada kerajaan yang memerintah.

“Namun, berbeza di negara kita, apabila kerajaan sedia ada tidak mempedulikan hal ini, malah sanggup memperjudikan kesihatan rakyat melalui pelaksanaan beberapa projek yang dianggap boleh mengundang risiko,” katanya.

Pada majlis berkenaan, dua buah lukisan hasil karya Abdul Rahman Sulaiman dengan harga RM1,000 dan RM1,500 turut dilelongkan.

Hasil jualan sebanyak 40 peratus akan akan dimasukkan ke dalam tabung dana parti, manakala selebihnya diberikan kepada pelukis.